Tahniah kepada calon yang berjaya mara ke peringkat Temuduga PTD 2026!
Untuk sampai ke tahap ini bukan sesuatu yang mudah. Anda mungkin sudah melalui beberapa peringkat penilaian yang mencabar, bersaing dengan ramai calon dan membuat persediaan sejak awal lagi.
Namun, jangan terlalu cepat menarik nafas lega.
Temuduga ialah salah satu peringkat yang boleh menentukan sama ada perjalanan anda untuk menjadi Pegawai Tadbir dan Diplomatik dapat diteruskan atau terhenti di sini.
Perkara paling penting sekarang ialah jangan tunggu tarikh temuduga semakin hampir baru hendak membuat persediaan.
Temuduga PTD bukan sesi yang sesuai untuk anda masuk dengan strategi:
“Saya jawab berdasarkan apa yang terlintas nanti.”
Keyakinan yang dilihat secara spontan selalunya dibina melalui latihan yang dibuat berkali-kali.
Calon yang bersedia awal mempunyai lebih banyak masa untuk memahami peranan PTD, mengemas kini pengetahuan semasa, menyusun dokumen, berlatih bercakap dan memperbaiki kelemahan jawapan.
Artikel ini akan membantu anda memahami perkara yang perlu diberikan perhatian sebelum menghadapi Temuduga PTD 2026.
Apa Itu Pegawai Tadbir dan Diplomatik?
Sebelum belajar menjawab soalan temuduga, calon mesti memahami terlebih dahulu jawatan yang dipohon.
Pegawai Tadbir dan Diplomatik atau PTD bukan sekadar pegawai yang melakukan tugasan pentadbiran di pejabat.
Berdasarkan penghuraian kerja rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam, pegawai PTD terlibat dalam merancang, menggubal, melaksanakan dan memantau dasar awam. Skopnya meliputi pengurusan sumber manusia, kewangan, ekonomi, pentadbiran, pembangunan wilayah, pentadbiran sosial, hubungan antarabangsa, keselamatan negara dan pengurusan teknologi maklumat.
Bagi PTD Gred M9, tugasan juga boleh merangkumi urusan pentadbiran, membantu perancangan dasar, menyelaras aktiviti bahagian, menyediakan laporan, menghadiri mesyuarat dan membuat tindakan susulan terhadap keputusan yang dipersetujui.
Sebab itu panel tidak hanya mahu melihat calon yang pandai bercakap.
Mereka juga mahu melihat sama ada calon mempunyai cara berfikir yang matang, tersusun dan sesuai dengan tanggungjawab seorang pegawai dalam kumpulan Pengurusan dan Profesional.
Kenapa Calon Perlu Bersedia Awal untuk Temuduga PTD 2026?
Persediaan temuduga PTD tidak boleh disiapkan dalam satu malam.
Anda perlu membuat kajian, memahami isu semasa, berlatih menyusun jawapan dan membiasakan diri bercakap dengan jelas. Semua perkara ini memerlukan masa.
Kalau anda mula lambat, biasanya anda akan cuba membaca terlalu banyak perkara dalam tempoh singkat. Akhirnya, banyak yang dibaca tetapi sedikit yang benar-benar difahami.
Lebih membimbangkan, calon mungkin menghafal jawapan sehingga kedengaran terlalu kaku.
Apabila panel mengubah sedikit bentuk soalan, calon terus hilang arah kerana jawapan yang dihafal tidak lagi sesuai.
Persediaan awal memberi ruang untuk anda:
- memahami peranan sebenar PTD;
- mengkaji isu semasa secara berperingkat;
- menyediakan contoh pengalaman diri;
- melatih komunikasi dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris;
- menyusun dokumen dengan lengkap;
- membina keyakinan secara semula jadi; dan
- melakukan simulasi temuduga beberapa kali.
Jangan tunggu rasa yakin baru hendak berlatih.
Latihan itulah yang akan membina keyakinan.
Perkara Penting yang Dinilai Dalam Temuduga PTD
SPA tidak menerbitkan satu senarai mudah yang menjanjikan semua calon akan ditanya perkara yang sama. Oleh itu, jangan menganggap set soalan calon terdahulu pasti akan diulang bulat-bulat.
Walau bagaimanapun, berdasarkan sifat jawatan PTD, calon wajar mempersiapkan diri dalam beberapa aspek utama.
1. Pengetahuan tentang jawatan PTD
Calon perlu boleh menerangkan peranan PTD dengan bahasa sendiri.
Elakkan jawapan terlalu umum seperti:
“PTD ialah pegawai yang bekerja di kementerian.”
Jawapan itu tidak salah, tetapi terlalu cetek.
Terangkan bahawa PTD terlibat dalam pentadbiran, penyelarasan, analisis, pelaksanaan dasar dan penyampaian perkhidmatan awam. Kaitkan jawapan dengan kemahiran yang diperlukan seperti komunikasi, kepimpinan, pemikiran strategik dan keupayaan menyelesaikan masalah.
2. Kemahiran komunikasi
Panel melihat bukan sahaja isi jawapan, tetapi juga cara anda menyampaikannya.
Jawapan yang bagus boleh hilang nilainya apabila disampaikan terlalu perlahan, meleret, tidak tersusun atau penuh dengan ayat tergantung.
Sebaliknya, anda tidak perlu bercakap seperti pembaca berita.
Cukup bercakap dengan jelas, tenang, sopan dan mudah difahami.
3. Kematangan pemikiran
PTD boleh terlibat dengan isu yang kompleks dan mempunyai banyak pihak berkepentingan.
Panel mungkin mahu melihat sama ada anda boleh menilai sesuatu isu daripada beberapa sudut, bukan sekadar memberikan pendapat berdasarkan emosi.
Apabila menjawab soalan berkaitan isu, cuba sentuh:
- punca masalah;
- kesannya kepada rakyat atau kerajaan;
- pihak yang terlibat;
- cadangan jangka pendek;
- cadangan jangka panjang; dan
- risiko atau cabaran pelaksanaan.
4. Kepimpinan dan kerja berpasukan
Kepimpinan bukan bermaksud anda mesti menjadi orang yang paling kuat bercakap.
Kepimpinan juga merangkumi kemampuan mendengar, membuat keputusan, menyelesaikan konflik, memberikan arahan dan memastikan pasukan mencapai matlamat.
Gunakan pengalaman sebenar daripada universiti, tempat kerja, aktiviti sukarelawan, persatuan atau projek berkumpulan.
5. Integriti dan nilai perkhidmatan awam
Seorang PTD perlu bertindak secara profesional dan menjaga kepentingan awam.
Calon perlu menunjukkan bahawa mereka memahami nilai seperti amanah, akauntabiliti, adil, telus dan bertanggungjawab.
Jangan sekadar menyebut:
“Saya seorang yang berintegriti.”
Berikan contoh situasi yang membuktikan bagaimana anda membuat keputusan dengan jujur walaupun keputusan tersebut mungkin tidak menyebelahi kepentingan peribadi anda.
Lapan Bidang Pengkhususan PTD yang Wajar Diketahui
JPA menyenaraikan lapan bidang pengkhususan PTD, iaitu:
- Pengurusan Sumber Manusia dan Khidmat Pengurusan
- Pengurusan Kewangan Kerajaan
- Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar Negeri
- Ekonomi
- Perumahan, Perbandaran, Kerajaan Tempatan dan Pentadbiran Tanah
- Keselamatan dan Pertahanan
- Pembangunan Sosial dan Masyarakat
- Sains, Teknologi dan Alam Sekitar
Anda tidak semestinya perlu menjadi pakar dalam semua bidang sebelum menghadiri temuduga.
Namun, sekurang-kurangnya anda perlu tahu bahawa skop kerjaya PTD luas dan seseorang pegawai boleh menerima pendedahan melalui pelbagai penempatan serta pusingan kerja sepanjang perkhidmatannya.
Kalau panel bertanya bidang yang paling anda minati, jangan hanya menyebut nama bidang.
Terangkan sebab anda berminat, kaitannya dengan latar belakang anda dan bagaimana anda boleh menyumbang dalam bidang tersebut.
Contoh Soalan Temuduga PTD 2026
Berikut ialah beberapa contoh soalan yang boleh digunakan untuk latihan.
Soalan ini merupakan contoh persediaan dan bukan jaminan soalan sebenar akan ditanya.
Soalan 1: Sila perkenalkan diri anda
Jangan ceritakan keseluruhan kisah hidup dari sekolah rendah sampai sekarang.
Susun jawapan kepada empat bahagian:
- Nama dan latar belakang akademik
- Pengalaman atau penglibatan yang relevan
- Kekuatan utama
- Hubungan kekuatan tersebut dengan kerjaya PTD
Contoh rangka jawapan:
“Saya merupakan graduan dalam bidang ________. Sepanjang pengajian dan pengalaman bekerja, saya banyak terlibat dalam aktiviti yang memerlukan penyelarasan, komunikasi dan kerja berpasukan. Antara kekuatan saya ialah kebolehan menganalisis sesuatu masalah dan menyusun tindakan secara sistematik. Saya berminat menyertai perkhidmatan PTD kerana mahu menggunakan kemahiran tersebut dalam membantu pelaksanaan dasar serta penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.”
Jangan hafal ayat ini bulat-bulat. Sesuaikan dengan diri anda.
Soalan 2: Mengapa anda mahu menjadi seorang PTD?
Elakkan menjadikan “kerja kerajaan stabil” sebagai sebab utama.
Anda boleh menyentuh:
- minat terhadap pentadbiran dan dasar awam;
- keinginan memberikan sumbangan kepada masyarakat;
- peluang berkhidmat dalam pelbagai bidang;
- minat menyelesaikan masalah yang melibatkan rakyat; dan
- kesesuaian kemahiran diri dengan skop PTD.
Jawapan anda perlu kedengaran jujur, bukan seperti slogan kempen.
Soalan 3: Apakah yang anda faham tentang tugas PTD?
Terangkan tugas PTD dalam bahasa yang mudah.
Contohnya:
“Pada pemahaman saya, PTD terlibat dalam perancangan, pelaksanaan, penyelarasan dan pemantauan dasar serta program kerajaan. PTD juga boleh ditempatkan dalam pelbagai kementerian atau agensi dan perlu memastikan sesuatu dasar diterjemahkan kepada pelaksanaan yang memberi kesan kepada rakyat.”
Selepas itu, berikan satu contoh mudah.
Misalnya, jika kerajaan memperkenalkan sesuatu program bantuan, pegawai bukan hanya terlibat pada peringkat pengumuman. Mereka juga mungkin perlu menyelaras pelaksanaan, memantau pencapaian, mengenal pasti kelemahan dan mencadangkan penambahbaikan.
Soalan 4: Apakah bidang penempatan PTD yang anda minati?
Pilih bidang yang benar-benar boleh anda huraikan.
Contohnya, jika anda memilih ekonomi, anda perlu bersedia menerangkan:
- sebab anda berminat;
- isu ekonomi yang sedang anda ikuti;
- kemahiran yang anda ada;
- bentuk sumbangan yang boleh diberikan; dan
- kesediaan ditempatkan dalam bidang lain.
Jangan berikan gambaran bahawa anda hanya mahu satu kementerian atau satu bidang tertentu.
Seorang calon perlu menunjukkan minat, tetapi pada masa yang sama bersedia menerima penempatan berdasarkan keperluan perkhidmatan.
Soalan 5: Apakah isu semasa yang menarik perhatian anda?
Jangan sekadar menceritakan berita.
Gunakan struktur berikut:
- Apakah isu tersebut?
- Mengapa ia penting?
- Siapa yang terkesan?
- Apakah usaha yang telah dilakukan?
- Apakah cadangan anda?
Pilih isu yang anda faham, bukannya isu yang kelihatan paling hebat.
Lebih baik menghuraikan satu isu biasa dengan matang daripada memilih isu besar tetapi jawapan hanya dua baris.
Soalan 6: Bagaimana anda menangani konflik dalam pasukan?
Gunakan contoh pengalaman sebenar.
Anda boleh menjawab menggunakan struktur STAR:
- Situation: Apakah situasinya?
- Task: Apakah tanggungjawab anda?
- Action: Apakah tindakan yang dilakukan?
- Result: Apakah hasilnya?
Pastikan anda tidak menjadikan diri sendiri sebagai hero dan menyalahkan semua orang lain.
Panel mahu melihat kematangan, bukan drama pejabat episod akhir. 😅
Soalan 7: Apakah kelemahan anda?
Jangan jawab:
“Kelemahan saya ialah saya terlalu rajin.”
Jawapan seperti ini terlalu biasa dan kurang meyakinkan.
Pilih kelemahan yang benar, tetapi boleh diperbaiki. Terangkan juga tindakan yang sedang dilakukan.
Contohnya:
“Sebelum ini saya agak sukar menyampaikan pandangan dalam kumpulan yang besar. Untuk memperbaikinya, saya mula mengambil peranan sebagai pembentang dalam projek, menyertai aktiviti yang memerlukan komunikasi dan membuat latihan rakaman sendiri. Saya masih terus memperbaikinya, tetapi sekarang saya lebih yakin menyampaikan pandangan secara tersusun.”
Soalan 8: Mengapa kami perlu memilih anda?
Jangan bandingkan diri dengan calon lain kerana anda tidak tahu kekuatan mereka.
Fokus pada tiga perkara:
- kekuatan anda;
- bukti melalui pengalaman;
- kesesuaian dengan PTD.
Contohnya:
“Saya percaya kekuatan saya terletak pada kemampuan belajar dengan cepat, menyusun kerja dan berkomunikasi dengan pelbagai pihak. Pengalaman saya dalam ________ telah mengajar saya mengurus tekanan dan menyelesaikan masalah secara tersusun. Sekiranya diberi peluang, saya bersedia untuk terus belajar dan memberikan komitmen kepada tanggungjawab sebagai PTD.”
Soalan Temuduga PTD Dalam Bahasa Inggeris
Calon juga patut bersedia untuk menjawab sebahagian soalan dalam Bahasa Inggeris.
Antara contoh soalan latihan ialah:
- “Please introduce yourself.”
- “Why do you want to become an Administrative and Diplomatic Officer?”
- “What is the most important quality of a public servant?”
- “Tell us about a difficult decision you have made.”
- “What current issue should the government prioritise?”
- “How would you handle disagreement within your team?”
Anda tidak perlu menggunakan perkataan yang terlalu bombastik.
Gunakan ayat yang mudah, betul dan jelas.
Lebih baik bercakap dalam Bahasa Inggeris yang sederhana tetapi tersusun daripada menggunakan istilah hebat yang akhirnya anda sendiri tidak pasti maksudnya.
Cara Menjawab Soalan Isu Semasa
Salah satu kesilapan calon ialah membaca terlalu banyak isu tetapi tidak berlatih menghuraikannya.
Untuk setiap isu yang dikaji, sediakan nota ringkas menggunakan format:
Apakah masalahnya?
Terangkan isu dalam satu atau dua ayat.
Apakah puncanya?
Senaraikan dua atau tiga punca utama.
Apakah kesannya?
Lihat kesan kepada rakyat, ekonomi, kerajaan, industri atau kumpulan tertentu.
Apakah tindakan yang telah diambil?
Semak inisiatif dan dasar daripada sumber yang sah.
Apakah cadangan anda?
Berikan cadangan yang realistik, bukan:
“Kerajaan perlu menyelesaikan masalah ini dengan segera.”
Itu bukan cadangan. Itu harapan. 😅
Cadangan perlu mempunyai tindakan, pihak pelaksana dan hasil yang mahu dicapai.
Oleh sebab fakta, dasar dan perkembangan semasa boleh berubah, calon perlu menyemak sumber rasmi kerajaan serta laporan berita yang boleh dipercayai ketika membuat persediaan.
Dokumen yang Perlu Disediakan untuk Temuduga
Jangan terlalu fokus menghafal isu sehingga terlupa dokumen.
Panduan rasmi SPA meminta calon melengkapkan MyResume, memuat naik dokumen yang berkaitan serta membawa dokumen asal yang disusun mengikut turutan. Dokumen tersebut boleh melibatkan kad pengenalan, sijil kelahiran, sijil akademik, skrol, transkrip, sijil kegiatan luar dan dokumen lain yang dinyatakan dalam panggilan masing-masing.
SPA turut meminta calon membawa senarai semak daripada MyResume, dokumen pengiktirafan kelayakan akademik yang berkaitan dan mematuhi etika pemakaian temuduga.
Antara tindakan yang wajar dilakukan ialah:
- baca surat panggilan dari awal hingga akhir;
- lengkapkan MyResume;
- muat naik dokumen yang diminta;
- susun dokumen asal mengikut turutan;
- sediakan salinan tambahan jika diperlukan;
- semak lokasi dan masa temuduga;
- cetak surat pengesahan panggilan; dan
- buat semakan terakhir sehari sebelum bertolak.
Jangan susun dokumen pada pukul 1 pagi sebelum temuduga.
Masa itu barulah sedar transkrip ada, tetapi entah tersimpan dalam fail zaman universiti yang mana satu.
Etika Pemakaian Temuduga PTD
Pakaian bukan satu-satunya perkara yang menentukan kejayaan, tetapi penampilan membentuk tanggapan awal.
Bagi calon lelaki, pilih pakaian formal yang kemas, bersih dan bersesuaian.
Bagi calon wanita, gunakan pakaian formal, sopan dan tidak keterlaluan.
Elakkan:
- pakaian terlalu ketat;
- warna atau corak terlalu menonjol;
- kasut yang tidak sesuai;
- aksesori berlebihan;
- rambut tidak terurus; dan
- minyak wangi terlalu kuat.
Matlamatnya bukan untuk menjadi calon paling bergaya.
Matlamatnya ialah kelihatan profesional dan menunjukkan bahawa anda menghormati sesi temuduga tersebut.
SPA sendiri menetapkan bahawa calon perlu mematuhi etika pemakaian semasa menghadiri temuduga.
Pelan Persediaan 7 Hari Temuduga PTD 2026
Hari 1: Fahami PTD
Baca skop tugas, bidang pengkhususan dan tanggungjawab PTD.
Hari 2: Siapkan pengenalan diri
Sediakan jawapan untuk “ceritakan tentang diri anda”, kekuatan, kelemahan dan sebab memilih PTD.
Hari 3: Kajian isu semasa
Pilih tiga hingga lima isu dan fahami punca, kesan serta cadangan penyelesaian.
Hari 4: Latihan soalan situasi
Latih soalan berkaitan kepimpinan, konflik, integriti, tekanan dan kerja berpasukan.
Hari 5: Latihan Bahasa Inggeris
Jawab sekurang-kurangnya lima soalan mudah dalam Bahasa Inggeris.
Hari 6: Simulasi temuduga
Minta rakan atau ahli keluarga menjadi panel. Rakam sesi tersebut dan nilai cara anda menjawab.
Hari 7: Semakan akhir
Susun dokumen, semak pakaian, lokasi, masa dan tidur secukupnya.
Kalau anda mempunyai masa lebih panjang, jangan tunggu tujuh hari terakhir.
Mulakan sekarang dan ulang proses latihan beberapa kali.
Kesilapan yang Perlu Dielakkan
Antara kesilapan biasa calon ialah:
Menghafal jawapan bulat-bulat
Apabila panel mencelah atau mengubah soalan, calon mudah hilang rentak.
Jawapan terlalu panjang
Jawapan yang panjang tidak semestinya menunjukkan anda lebih bijak. Kadang-kadang ia hanya membuatkan panel lupa apa soalan asal.
Tidak memberikan contoh
Menyebut “saya seorang pemimpin” tanpa bukti tidak cukup meyakinkan.
Tidak mengaku apabila tidak tahu
Jangan mereka fakta.
Lebih baik nyatakan secara profesional bahawa anda tidak pasti, kemudian jelaskan perkara yang anda fahami berkaitan soalan tersebut.
Terlalu yakin sehingga kelihatan angkuh
Yakin itu bagus. Tetapi keyakinan perlu datang bersama kesopanan dan kesediaan mendengar.
Menunggu saat akhir
Ini kesilapan paling mudah dielakkan.
Anda sudah berjaya sampai ke tahap temuduga. Jangan biarkan peluang tersebut terjejas hanya kerana persediaan dibuat sambil lewa.
Motivasi untuk Calon Temuduga PTD 2026
Mungkin sekarang anda rasa calon lain lebih hebat.
Ada yang petah bercakap.
Ada yang mempunyai pengalaman kerja lebih lama.
Ada yang aktif dalam pelbagai organisasi.
Ada yang kelihatan sangat yakin.
Tetapi anda juga dipanggil ke peringkat ini kerana anda mempunyai peluang.
Jangan terlalu sibuk membandingkan kelemahan diri dengan kelebihan orang lain.
Fokus kepada perkara yang boleh anda kawal:
- ilmu yang anda tambah;
- latihan yang anda lakukan;
- dokumen yang anda sediakan;
- cara anda mengawal emosi; dan
- usaha yang anda berikan.
Anda tidak perlu menjadi calon yang tahu segala-galanya.
Anda perlu menjadi calon yang bersedia, jujur, matang dan mampu menunjukkan potensi untuk dibangunkan sebagai seorang PTD.
Gementar itu normal.
Yang penting, jangan biarkan perasaan gementar menjadi alasan untuk tidak membuat latihan.
Dapatkan Rujukan Temuduga PTD 2026
Bagi calon yang serius mahu membuat persediaan, kami sangat menyarankan anda mendapatkan Rujukan Temuduga PTD ini.
Rujukan ini sangat membantu calon kerana persediaannya disusun secara menyeluruh, bukan sekadar memberikan beberapa contoh soalan tanpa penerangan.
Antara kandungan yang disediakan ialah:
- BAB 1: Memahami Proses Pemilihan PTD
- BAB 2: Penyediaan Dokumentasi
- BAB 3: Kajian dan Pemahaman Asas
- BAB 4: Kemahiran Komunikasi
- BAB 5: Strategi Menghadapi Soalan Temuduga
- BAB 6: Persediaan Mental dan Emosi
- BAB 7: Pengurusan Masa untuk Persediaan Temuduga
- BAB 8: Simulasi Temuduga Sebenar
- BAB 9: Kesimpulan dan Motivasi
- Etika pemakaian lelaki dan wanita
- Tujuh kisah benar pengalaman temuduga PTD
- Rumusan persediaan sebelum, semasa dan selepas temuduga
- Tips lulus Temuduga PTD
Kelebihan rujukan ini ialah calon boleh melihat persediaan temuduga sebagai satu proses yang lengkap.
Bukan sekadar belajar apa hendak dijawab, tetapi turut memahami cara mengurus dokumen, komunikasi, emosi, masa, penampilan dan simulasi sebenar.
Ia tidak boleh menjamin seseorang calon akan terus lulus kerana keputusan tetap bergantung pada prestasi dan penilaian panel. Namun, rujukan yang tersusun seperti ini sangat membantu anda mengurangkan kekeliruan dan membuat persediaan dengan lebih terarah.
Jangan tunggu beberapa hari sebelum temuduga baru hendak mula membaca.
Lebih awal anda dapatkan rujukan, lebih banyak masa untuk memahami kandungannya, membuat latihan dan memperbaiki jawapan.
👉 Dapatkan Rujukan Temuduga PTD 2026 di sini:
https://semakan.info/tim/upgrade-pakej-ptd/30
Penutup
Temuduga PTD 2026 bukan sekadar ujian untuk melihat siapa paling banyak menghafal fakta.
Ia merupakan peluang untuk anda menunjukkan pengetahuan, kematangan, komunikasi, nilai diri dan potensi sebagai seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik.
Gunakan masa yang ada dengan sebaiknya.
Fahami jawatan.
Kaji isu semasa.
Susun dokumen.
Latih Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Lakukan simulasi.
Jaga kesihatan dan emosi.
Anda sudah datang sejauh ini. Jangan berhenti membuat usaha pada peringkat yang sangat penting ini.
Mulakan persediaan hari ini supaya apabila duduk di hadapan panel nanti, anda tidak hanya berharap soalan yang mudah keluar.
Sebaliknya, anda masuk dengan keyakinan bahawa anda sudah melakukan persediaan yang terbaik.
Semoga dipermudahkan urusan dan semoga berjaya dalam Temuduga PTD 2026!